Sunday, May 16, 2010

16 MEI 2010

Alif ba ta detik permulaan segala corak warna kehidupan. Guru adalah paksinya, membuka jendela alam, menitik hikmah, menuntun hati dan sanubari, mentafsir naluri,lantas melonjak bijaksana seorang anak kecil...dewasanya bangkit mengukir sejarah, menjunjung agama, memperkasa bangsa! Terasnya bermula dari tutur ajar dan didikan seorang guru!

Guru Pembina Negara Bangsa
Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencetuskan kepentingan pembinaan bangsa Malaysia pada tahun 1991 melalui Gagasan Wawasan 2020. Cabaran pertama yang ditonjolkan dalam gagasan tersebut dengan jelas meletakkan matlamat berkenaan :

“Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatupadu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan” (Cabaran Pertama, Wawasan 2020)

Matlamat tersebut masih disuarakan oleh pemimpin selepasnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepentingan perkongsian sebuah negara dan menekankan semangat kecintaan kepada negara. Menurut beliau :


“Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha bersama. Negara Malaysia akan terus dibangunkan secara bersama dalam semangat yang tidak membenarkan berlakunya tafsiran sempit dari segi identiti warga, tidak membenarkan berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku ketidakadilan di kalangan warga dan tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan terhadap jaminan masa hadapan mana-mana warga. Bumi dan langit Malaysia adalah tempat bertapak, tempat berteduh setiap warga Malaysia, Bumi dan langit Malaysia menjanjikan tapak kukuh dan langit cerah untuk setiap warga dapat hidup bersatu penuh muafakat.”


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan hari kebangsaan negara ke 52 (2009) pula menekankan kepada usaha merapatkan hubungan rakyat berbilang
kaum di Malaysia dengan meruntuhkan tembok pemisah yang masih wujud. Menurut beliau:

“... lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.” (Malaysiakini : 31 Ogos 2009)

Bagi mengukuhkan kenyataan tersebut beliau turut mengingatkan generasi muda Malaysia khususnya supaya menghargai sejarah negara terutamanya dalam aspek yang melibatkan kerjasama antara kaum. Mempertegaskan hal tersebut, beliau menyatakan :

“…kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda.” (Malaysiakini : 31 Ogos 2009)

Pandangan-pandangan di atas mempunyai matlamat dan aspirasi bersama yang jelas bahawa hidup sebagai sebuah negara bangsa dalam kalangan rakyat berbilang bangsa adalah satu prasyarat mengekalkan kemakmuran Malaysia tercinta. Bidang pendidikan menjadi wadah utama untuk menjayakannya, ayuh guru-guru kita melaksanakan amanah yang tergalas di bahu kita. Insyaallah!

SELAMAT HARI GURU 2010, buat seluruh warga guru di Malaysia. Read More..